Pascamoden adalah satu
ungkapan mutakhir yang merujuk kepada wajah dunia kini. Menurut kacamata Barat,
dunia telah melalui empat era, termasuk yang terkini yang dinamakan sebagai era
pascamoden. Tiga era yang terdahulu ialah era silam, era pertengahan dan era
moden.
Era silam dikatakan
mewajahi dunia dengan legenda dan mitos, era pertengahan dengan keagamaan, era
moden dengan akal, dan era pascamoden dengan hermeneutik, atau tafsiran
peribadi tentang segala yang ada.
Lima perkara pokok yang
membentuk wajah dunia ialah realiti, kebenaran, ilmu, sejarah dan diri. Realiti
merujuk kepada persoalan tentang hakikat kewujudan dunia, sama ada dunia ini
hanya semata juzuk kebendaan ataupun mempunyai dimensi yang lebih dari itu.
Kebenaran merujuk kepada
pengesahan terhadap realiti dunia, dan ini bergantung kepada sumber kebenaran,
sama ada ia legenda dan mitos, periwayatan, akal, ataupun wahyu. Ilmu merujuk
kepada titik temu diri dengan kebenaran dari segi padanan kebenaran dengan diri
dan sebaliknya.
Sejarah merujuk kepada
dunia sebagai persada titik temu segala yang terdapat di dalamnya, dan
titiktemu ini memberikan satu gambaran tentang perencanaan dunia, termasuk sama
ada ia mempunyai corak yang berulang ataupun ia bersifat rambang.
Diri merujuk kepada
persoalan tentang kewujudan jati seseorang, seperti persoalan tentang sama ada
kejatian dirinya adalah melalui kelahiran ataupun ianya bergantung kepada
faktor persekitaran, seperti budaya dan sejarah.
Pascamoden yang
berpangkalankan hermeneutik sebagai tafsiran wajahnya menolak segala pandangan
tentang dunia sebelumnya. Lebih tepat dikatakan bahawa ia tidak ada ketetapan
tentang wajahnya. Wajahnya bergantung kepada tafsiran peribadi seseorang.
Dalam ertikata lain,
wajah dunia bukanlah sesuatu yang bersifat objektif, yakni, ia bukanlah sesuatu
yang wujud berasingan daripada diri seseorang.
Sebaliknya, ia adalah
sesuatu yang dilahirkan dari persepsi seseorang tentangnya. Jikalau falsafah
dan sains moden mengajar bahawa dunia adalah sebuah misteri terselindung di
sebalik pengetahuan manusia namun boleh diketahui melalui kaedah analisis dan
empirik, kaedah hermeneutik mengandaikan bahawa pada hakikatnya, tidak wujud
apa-apa di sebalik pengetahuan itu.
Sebaliknya apa yang ada
pada dunia adalah hasil janaan manusia terhadapnya melalui imaginasi dan
wacana. Wajah dunia bukanlah sesuatu yang dicari dan ditemui tetapi dicipta.
Dengan itu, dunia bukanlah sesuatu yang objektik dari diri seseorang, tetapi
subjektif pada dirinya.
Implikasi dari
hermeneutik sebagai wajah dunia membawa kepada pemahaman baru tentang kelima
perkara pokok yang membentuk wajahnya. Realiti sebagai sesuatu yang objektif,
kekal, abadi, stabil, dan universal kini hanya tinggal kekosongan yang
hakikatnya diisi oleh imaginasi dan wacana manusia mengenainya.
Walaupun manusia dalam
suatu zaman hidup dalam ruang dan waktu yang sama, tetapi oleh sebab pengalaman
mengenai ruang dan waktu itu berbeza di antara satu dengan yang lain, maka
persepsi dirinya tentang persekitarannya pun berbeza.
Justeru realiti yang
dijanakan oleh pengalamannya adalah realiti yang hanya relatif kepada dirinya
sahaja dan tidak semestinya realiti yang sama untuk orang lain. Inilah yang
dikatakan surreality dan virtual reality di mana realiti itu hanyalah kesamaran
yang mendatangkan rasa ya atau tidak tentang adanya ia atau tidak.
Dalam ertikata lain,
realiti itu hanyalah maya. Oleh kerana realiti itu adalah maya kerana ia
bergantung kepada pengalaman seseorang untuk menentukan status realitinya, ia
juga tidak semestinya realiti yang kekal sama untuk orang itu sepanjang waktu.
Ini adalah kerana
pengalaman seseorang tentang persekitarannnya boleh berubah dari semasa ke
semasa. Maka setiap kali pengalamannya berubah, persepsinya tentang dunia pun
berubah. Dengan itu, realiti yang kini untuknya tidak semestinya realiti yang
sama kepadanya di masa akan datang. Namun oleh kerana pengalaman tidak
semestinya berubah secara radikal atau mendadak, cebisan dari pada pengalaman
yang terdahulu akan dibawa kepada pengalaman yang seterusnya. Inilah yang
mendatangkan kesangsian kepadanya sama ada realiti yang dialaminya dahulu
adalah sama dengan realiti yang dialaminya sekarang. Justeru realiti itu
berkemungkinan banyak.
Realiti yang berderet
banyak hasil dari satu pengalaman kepada satu pengalaman yang seterusnya ini
menjadikan satu realiti simulasi kepada realiti yang seterusnya. Realiti yang
sebelumnya mensimulasi realiti yang selepasnya supaya mereka kelihatan seiras
tetapi pada hakikatnya tidak.
Realiti yang sedemikian
sifatnya secara umum boleh diistilahkan sebagai simulakra, atau realiti maya
yang disimulasikan dari pengalaman seseorang dari persekitarannya dan
dipancarkan kepada pengalaman realitinya yang seterusnya.
Kebenaran dalam faham
selama ini merujuk kepada perakuan tentang sesuatu perkara atau benda. Perakuan
ini melibatkan persetujuan di antara yang mengaku dan yang diakui. Namun
persetujuan ini hanya berkemungkinan jika kedua pihak yang mengaku dan diakui
memiliki status diri yang stabil dan tidak berubah. Tetapi dalam realiti maya,
ini tidak berkemungkinan kerana tanggapan isi kandungannya senantiasa berubah
mengikut pengalaman seseorang mengenainya. Dalam ertikata lain, realiti maya
bermakna kebenaran juga adalah maya. Ini sama seperti mengatakan bahawa pada
hakikatnya, kebenaran itu sebenarnya tidak ada. Oleh kerana kebenaran tidak
berkemungkinan ada, yang hanya tinggal hanyalah pandangan yang relatif tentang
apa yang berkemungkinan ada.
Ini dikatakan
perspektif, atau sudut pandangan. Maka itu, dalam pandangan pascamoden, kebenaran
hanyalah perspektif, dan tidak lebih dari itu.
Ilmu adalah titik temu
segala yang wujud dalam satu rangkaian hubungan antara satu dengan yang lain
secara serasi.
Rangkaian hubungan ini
pula menghasilkan struktur makna yang menyeluruh tentang zat dan sifat yang
diketahui. Makna adalah pengertian yang berkemungkinan oleh pancaindera kerana
terdapat keserasian dalam hubungan rangkaian yang disebutkan.
Namun oleh kerana
realiti dan kebenaran adalah maya dan tidak stabil, ilmu juga tidak
berkemungkinan. Ini adalah kerana rangkaian hubungan di antara yang diketahui
tidak boleh membentuk satu struktur makna yang tetap dan stabil. Apa yang
berkemungkinan adalah struktur makna yang beralih. Oleh sebab itu, maklumat
yang dihasilkan mengenai suatu sasaran pengetahuan terdedah kepada pelbagai
tafsiran yang mungkin mengenainya. Di dalam istilah pascamoden, ini dikatakan
naratif, atau pengkisahan.
Pengkisahan adalah
bacaan tentang yang berkemungkinan dikatakan ilmu.
Sejarah yang dimaksudkan
di sini bukanlah semata sebuah mata pelajaran mengenai peristiwa silam
suka-duka kehidupan manusia dari zaman ke zaman, tetapi tentang persoalan sama
ada peristiwa yang berlaku mempunyai corak keberlakuan yang berulang ataupun
rambang. Sejarah mempunyai dua wajah, kronologi dan genealogi. Kronologi ialah
aspek sejarah yang berkaitan dengan urutan peristiwa dari satu tempoh ke satu
tempoh yang lain. Sehingga era moden, sejarah masih dianggap sebagai mempunyai
urutan yang mencerminkan kemajuan manusia dari tahap primitif ke tahap yang
lebih tinggi.
Zaman silam dianggap
zaman yang lebih mundur berbanding dengan zaman pertengahan, dan zaman
pertengahan dianggap lebih mundur dari zaman moden. Genealogi pula adalah aspek
sejarah yang berkaitan dengan asal-usul sumber sesuatu peristiwa. Sebagai
contoh, sehingga era moden, kebanyakan sejarah ditulis oleh kaum lelaki. Tetapi
pada hari ini, penulisan sejarah oleh kaum lelaki dipertikaikan oleh setengah
kaum wanita yang melihat sumbangan wanita kepada sejarah diabaikan.
Pascamoden menolak kedua
tanggapan sejarah ini yang membentuk apa yang dinamakan sebagai universal
history, atau sejarah yang sejagat. Bagi pascamoden, universal history tidak
wujud kerana sejarah adalah pengkisahan semata dan pengkisahan tidak semestinya
mencerminkan sebab-musabab yang sebenarnya kenapa sesuatu peristiwa berlaku.
Malah, menurut pascamoden, sejarah cumalah kecenderungan memihak suatu golongan
manusia ke atas golongan manusia yang lain untuk tujuan penindasan dan
manipulasi.
Kerana itu, pascamoden
cukup sensitif dengan kaedah pensejarahan (historiografi). Malah, pascamoden
menganggap bahawa pensejarahan yang ada mengenai peristiwa yang lampau yang
dianggap sahih perlu direkah semula (dekonstruk). Ini bererti sebab-musabab
yang membentuk sejarah sesuatu peristiwa harus digali dan dinilai semula
kesahihannya.
Ini menimbulkan
perspektif baru tentang teknik pensejarahan atau historiografi yang disebutkan
tadi. Historiografi kini bertukar ke arkeologi maklumat.
Diri, dalam perspektif
pascamoden, bukanlah suatu entiti peribadi yang berdiri dengan diri sendiri.
Sebaliknya, diri adalah suatu matriks di mana identitinya dibentuk oleh
unsur-unsur yang datang dari luar diri itu. Dalam hubungan ini, yang datang
dari luar adalah sejarah. Sejarah menyalurkan unit-unit maklumat kepada diri
yang kemudiannya menyusun struktur unit-unit ini dalam satu bentuk yang rapi
untuk menjanakan suatu imej hologram kepada diri itu.
Diri menganggap bahawa
imej hologram yang dijanakan dalam dirinya adalah identitinya tetapi ini adalah
tidak benar kerana identiti ini hanyalah sebuah janaan semata. Dengan ini, diri
ini boleh berubah identitinya mengikut perubahan sejarah yang berlaku ke atas
dirinya. Oleh kerana tidak semestinya terdapat satu sejarah pada satu masa yang
sama tetapi sebaliknya berbagai sejarah, maka imej diri yang dihasilkan adalah
imej kitaran yang boleh dicipta, dibuang, dan digunakan semula.
Era pascamoden dikatakan
tidak mempunyai paksi yang mengikat ketetapan wajahnya. Malah, dalam era ini,
zaman bertembung zaman sehingga dalam satu waktu tertentu, tiga atau empat
zaman bertembung.
Maka yang dikatakan kini
bukan hanya zaman sekarang, tetapi juga zaman silam, zaman pertengahan, dan
juga zaman akan datang. Begitu juga dengan ruang. Kemunculan ruang siber
membolehkan pertembungan di antara manusia merentas ruang fizikal.
Maka dengan itu, segala
aspek kehidupan menjadi rekahan (fragmentasi) yang tidak mempunyai identiti,
nilai, dan hala tuju yang tertentu. Segalanya adalah mungkin. Di dalam
pascamoden, yang ada cuma ufuk-ufuk yang terbuka, bukan dunia yang tertutup.
Segala konsep yang
menjadi pegangan kini terdedah kepada persoalan. Realiti menjadi simulakra,
kebenaran hanya tinggal perspektif, ilmu cuma sekadar naratif, sejarah bertukar
kepada arkeologi maklumat, dan diri dianggap sebagai matriks.Tentunya
pascamoden membawa cabaran baru kepada kita untuk memikir semula segala
pandangan wujud dan pandangan hidup yang sedia ada.
PROF.DR. YAMIN CHENG