Anak-anakku
yang di kasihi,
Sempena
Hari Bapa ini, ayah mengambil kesempatan, ingin berkongsi suatu kisah yang amat
berharga. Hal ini perlu kamu ketahui agar suatu hari nanti kamu kenal dan tidak
melupainya siapa ibu kamu di hati ayah.
Dengarlah,
anak-anaku!
Walaupun
ibu kamu terlalu singkat meninggalkan dunia ini, tetapi ayah sangat
mengenalinya, bahkan jauh lebih daripada ayah mengenali diri ayah sendiri. Dan
kamu mengenali ibu kamu hanya melalui potret-potret kenangan yang
ditinggalkannya kepada ayah. Kamu masih kecil ketika itu. Antara kamu ada yang
berumur 8 tahun dan 7 bulan.
Hari
ini ayah memberitahu kamu bahawa ibu kamu, adalah manusia paling mulia di sisi
ayah. Dia sentiasa menjaga dirinya. Dia kuat beragama. Dia seorang muslimah
hebat.Kehebatannya dalam berpakaian tiada tolok bandingnya. Ibu kamu memenuhi
tuntutan cara berpakaian islam yang sempurna. Tiada satu anggota badan ibu kamu
yang boleh nampak kemuliaan tubuhnya selain dari paras mukanya yang sentiasa
dibasahi oleh wudhu. Ibu kamu tidak pernah meninggalkan solat melainkan dia
uzur. Dia tidak pernah menyakitkan hati ayah. Ayah juga akui bahawa dia tidak
pernah mengasari ayah atau menunjukkan sikap kontra terhadap ayah mahupun
tindakan atau kata-kata kasar terhadap ayah. Sifat kelembutannya telah banyak
mengajar ayah. Pun begitu ketika mendidik dan mengajari kamu. Pada bila-bila
masa sahaja ketika menyuruh kamu mandi, sarapan pagi dan bermain petang, sikap
ramah tamah dan suara lembut ibu kamu sentiasa melayani kamu. Walaupun pada saat
ketika itu kamu bersifat nakal terhadanya. Hati kecilnya mencakupi luas sekali,
seluas cakerawala. Ini ternyata dalam sifat kemurahan hatinya suka membantu
ketika mana orang datang meminta pertolongan. Pernah satu ketika seorang hamba
Allah mohon bantuan, dia sanggup memperjudikann apa-apa sahaja harta miliknya.
Semua ini kamu tidak ingat dan kamu tidak tahu, kerana ketika itu kamu masih
kanak-kanak lagi.
Anak-anaku
yang dikasihi!
Satu
perkara yang perlu kamu tahu ialah, ibu kamu sangat menyayangi kamu. Malah sayang dan
cintanya kepada kamu sampai ke hujung nyawa. Satu peristiwa paling menyayat
hati! Pernah satu ketika semasa ibu kamu merasai kesakitan, saat ibu kamu
merasai bahawa masa-masa terakhir akan tiba untuk meninggalkan kamu selamanya.
Ketika itu dia berada dalam kamar mandi! dan dia tidak menyedari ayah berada di
sebalik kamar tersebut. Ayah mendengar rintihan ibu kamu yang sangat memilukan
hati ayah. Dia berdoa:
“Ya Allah, kalaulah Engkau
mengambil nyawaku, berikanlah aku kesempatan membesarkan anak-anakku,
berikanlah aku peluang memelihara mereka selama yang mungkin, mereka masih
memerlukan aku dan aku sangat memerlukan mereka" Kata-kata doa ini
diualang-ulanginya beberapa kali dan cukup jelas ditelinga ayah.
Anak-anakku yang
dikasihi,
Pada ketika ayah
mendengar doa ibu kamu itu, rasa sebak dan pilu di hati ayah tidak tertahan,
dada ayah seakan meletup hancur berkecai . Sementara air mata ayah menitis
berlinangan. Kisah seterusnya ialah
peristiwa 18/11/97 . Iaitu hari yang paling gelap dalam hidup ayah. Ketika itu
ayah menjaga ibu kamu di HQE KK. Dia koma selama 3 hari akibat sakit kanser
payu dara yang dideritainya. Saat hari ketiga ibu kamu koma di sisi ayah,
tiba-tiba dia sedar dan sempat meminta makan buah anggur dan epal dari ayah. Tidak
dapat dibayangkan betapa gembiranya hati ayah ketika itu. Tubuh ayah yang
sebegitu lemah, akibat pemakanan ayah yang tidak teratur, tiba-tiba kuat dan
bersemangat. Dengan sekuat hati ayah terus berlari sejauh 900 meter mendapatkan
buah tersebut di sebuah supermarket yang berhampiran. Anak-anakku tahu? Saat
ketika ayah kembali berlari membawa buah dan memasuki wad, ibu kamu sudah tiada
lagi. Dia pergi meninggalkan ayah selama-lamanya. Buah anggur dan epal yang
ayah bawa sudah tidak berguna lagi. Tubuh ayah lemah tidak bermaya anakku. Ayah
tidak dapat berbuat apa-apa selain dari suasana pilu menyelubungi ayah. Ayah
tidak dapat menerima dengan apa yang berlaku. Hati dan jiwa ayah meronta-ronta meraung
menanggung kesakitan. Ketika kewarasan ayah semakin sukar dikawal, ayah
merasakan bahawa dunia ini sudah tidak lagi bererti dalam hidup ayah. Hanya
kerana kamu sahaja anak-anakku...menjadi kekuatan ayah untuk hidup terus bersama-sama dengan kamu.
Anak-anakku
yang dikasihi!
Berat
Mata Memandang, Berat Lagi Bahu Memikul. Begitulah keadaan ayah anak-anakku.
Bahawa sampai bila-bila kamu tidak akan tahu menyelami penderitaan
ayah.....ayah bertarung antara hidup dan mati. Demikian orang lain, jauh sekali
mengerti dan faham apa yang ayah rasakan.
Anak-anakku
!
Pada
ketika ayah menulis kisah ini, kamu masih tidak mengerti, suatu hari nanti bila
kamu dewasa kamu akan tahu betapa ayah sangat menyayangi kamu.........Ayah akan
buktikan kepada kamu bahawa ayah sangat sayang dengan kamu. Ayah
tidak akan membenarkan sesiapa memisahkan kamu dengan ayah. Sebab itu ketika
ketiadaan ibu kamu ayah tidak menyerahkan kamu kepada sesiapa hatta keluarga
sebelah ibu kamu dan ayah sekalipun. Sekarang kamu semua sudah dewasa, maka
kamu boleh memilih tinggal dengan sesiapapun, apa yang penting bagi ayah ialah
kamu semua bahagia dan senang hati.
Anak-anakku yang dikasih
Demikianlah
kisah ini ayah paparkan kepada kamu supaya kamu mengambil iktibar dan menjadi
ingatan kepada kamu, dan lebih daripada itu ayah mengharapakan agar kamu dapat
mengenali ibu kamu dan menyayanginya selama sampai akhir hayat kamu. Walaupun
ibu kamu sudah tiada lagi dan meninggalkan kamu buat selama-lamanya, buatlah
sesuatu yang menyenangi hati ibu kamu, janganlah samasekali melakukan sesuatu
yang menyakitkan dan menyusahkannya di alam arwah. Akhir sekali anak-anakku! al
Fatihah untuk ibu kamu. Dan di atas dasar kasih sayang dari ayah, semoga Allah
memberkati dan merahmati hidup kamu. Kisah ini akan ayah paparkan setiap kali
sambutan Hari Ibu supaya kamu mengingatinya
Terima kasih
Rindu ayah akan sentiasa mengiring kamu.